Thursday, March 3, 2011

Memulakan Perniagaan Cara Rasulullah SAW

Bagaimana memulakan perniagaan? Kini saya dapati ramai orang dah mula berniaga, sama ada secara part time atau full time. Dan memecahkan dominasi yang telah dibuat oleh penjajah satu ketika dulu (long way to go).

Berniaga adalah satu sunnah yang sudah dilupakan oleh sesetengah orang. Disebabkan orang kita dah biasa dengan makan gaji, bila kit nak memulakan perniagaan, pelbagai tanggapan akan timbul, contohnya:

“Hidup sederhana sajalah, buat apa nak kejar kekayaan…”

“Bersyukurlah dengan apa yang ada…”

“Kalau kaya jutawan tapi hati tak tenang, lupa Tuhan buat apa…”

“Cukuplah dengan harta yang ada, buat apa nak kumpul2 lagi, bukan boleh bawa mati…”

“Meniaga tu sebab nak kaya cepat lah tu”

Menjadi usahawan ialah salah satu karier yang dijalankan oleh Nabi kita sendiri. Nabi Muhammad SAW untuk pengetahuan anda adalah seorang usahawan berjaya. Tapi disebabkan tak ramai yang mengetahui sirah Baginda, maka tak ramai lah yang tahu akan kerjaya Baginda sebagai businessman disamping seorang pemimpin agama, negarawan, pendakwah, dan sebagainya.

Rasulullah SAW telah didedahkan dengan ilmu perniagaan sejak kecil lagi. Baginda sering mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga, malah pernah dibawa ke negeri Syam (kini Syria) semasa berusia 12 tahun mengikuti Abu Talib menjalankan urusan perniagaan di sana. Dari situ Rasulullah SAW belajar selok belok perniagaan sehingga Baginda diberi kepercayaan untuk mengendalikan perniagaan bapa saudaranya dan juga orang Quraisy yang lain.

Perniagaan adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:

Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi(35:29)

Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (61:10-11)

Kenapa Allah menyebut perniaagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan betul.

“9/10 daripada harta ialah dari hasil berniaga” (HR Tirmizi)

Ramai yang salahfaham tentang konsep berniaga. Berniaga bukan bertujuan untuk mengumpul harta (Ya, ia menjadi begitu sekiranya si peniaga berniat begitu).

Allah berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku atas dasar suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (4:29)

Bermakna berniaga itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan atas dasar suka sama suka dan tidak menipu atau menindas orang lain. Kepada siapa mesej ini diberikan? Adakah kepada Ah Chong? Tentu tidak sebab ia adalah ayat al-Quran yakni panduan kepada orang Islam. Nyatalah Islam sendiri menyuruh kita menjalankan perniagaan.

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula dengan jual beli dari mengingati Allah, dan dari menunaikan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang bila hati dan penglihatan digoncangkan.(24:37)

Malah Rasulullah SAW pernah bersabda tentang kemuliaan seorang peniaga

Peniaga yang jujur akan ditempatkan di kalangan para Nabi, para Syuhada’ dan Siddiqin (HR Tirmizi)

Di sini dinyatakan bahawa sifat yang tercela ialah bila dilalaikan oleh perniagaan hingga lupa pada Allah, dan tidak membayar zakat. Bermakna berniaga adalah satu perkara yang utama selagi tidak melupakan Allah dan tanggungjawab sebagai orang Islam seperti menunaikan zakat. Memang jadi masalah kalau dah mula berniaga, dah untung mula rasa diri best, nak keluarkan zakat rasa sayang, takut habis pula harta. Sedangkan Allah sudah berjanji dalam ayat seterusnya dalam surah di atas:

Mereka mengerjakan itu supaya Allah memberi balasan kepada mereka denganyang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakinya tanpa batas (24:38)

Bermakna semakin kita jujur dalam perniagaan, semakin kuat pergantungan kita kepada Allah, semakin banyak kita infak harta, semakin banyak kurniaan-Nya kepada kita.... Wallahualam Bissawab